Friday, August 14, 2009

Buku, bukan musuh kita

Membaca jambatan ilmu... 

                 Sejak awal lagi kita sudah didedahkan dengan buku. Apabila kita mula bersekolah kita perlu mengadap berdozen buku setiap tahun.. Buku teks, buku rujukan, buku latihan, buku PEKA,.. macam-macam ada. Kadang-kadang bukan kemahuan kita pun nak baca semua buku tu. Tapi macam dah jadi satu paksaan, terutama bila tiba masa peperiksaan. Kalau tak, agak sukar nak capai buku .. Apalagi nak menjadikan buku sebagai amalan atau hobi dalam kehidupan seharian.

               Ada juga yang cakap, tak sempat nak baca buku disebabkan jadual persekolahan yang padat. Bila balik dari sekolah, kena tolong mak ayah buat kerja rumah. Kemudian, ada juga yang cakap kena jaga adik. Kemudian, ulangkaji pelajaran.. Tidak cukup masa untuk membaca. Tetapi benarkah perkara ini berlaku? Kalau zaman dahulu boleh lah alasan tu diguna pakai. Tetapi sekarang ni rasanya tak macam tu. Sebab zaman sekarang ni banyak kemudahan. Keluarga yang susah masih ada, tetapi itu bukan alasan. Remaja sekarang lebih berminat menonton televisyen sehingga larut malam daripada membaca buku, mengulangkaji pelajaran atau pun tidur. 

Remaja masa kini ramai yang tidak menyedari bahawa keperluan tidur adalah hal yang sangat penting. Tetapi tidak dibicarakan pada ruang ini. Banyak kemungkinan yang menyebabkan remaja kita tidak berminat untuk membaca buku. Salah satu daripadanya adalah disebabkan buku-buku yang ada di pasaran tidak memenuhi minat remaja untuk dibaca. Tidak dinafikan kini mula terdapat novel-novel remaja yang berunsur islamik, memotivasikan diri dan tidak kurang juga untuk mengajak remaja membaca. Tetapi dari sudut buku lain, buku tersebut tidak dapat menarik minat remaja. Sehinggakan buku-buku yang berada di pasaran tidak pernah habis dijual atau terpaksa diulang cetak. 

                   Walaupun peratus rakyat Malaysia yang membaca agak tinggi berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara. Namun begitu, kalau dilihat sebenarnya rakyat Malaysia lebih berminat kepada membaca surat khabar dan komik serta novel, dibandingkan dengan membaca journal, atau fiksyen. Terlalu ketara dibandingkan dengan negara maju diluar sana yang lebih suka membaca buku-buku fisyen dan buku-buku bukan fiksyen. 

                Walaupun begitu, bukanlah menjadi halangan untuk remaja tidak membaca. Sebenarnya terdapat banyak kaedah yang boleh dilakukan untuk mengajak diri membaca. Membaca bukan membunuh diri pun. Tapi ramai diantara kita yang menganggap buku sebagai musuh yang tidak boleh didekati. Cuba untuk membaca buku yang digemari. Ambil masa untuk memahami setiap ayat daripada buku tersebut. Mungkin adalah lebih baik untuk menjadikan buku sebagai minat sedari kecil. Kerana apabila membaca buku dari kecil, minat membaca itu telah dipupuk dan ditambah dengan keinginan yang tinggi untuk mengetahui dan mempelajari banyak perkara diluar sana yang tidak mungkin dapat diketahui selain daripada membaca atau selain daripada mendengar hal-hal yang lalai. 

               Ramai diantara kita tidak dapat membezakan sesuatu yang benar-benar berfaedah ke atas dirinya kerana dia telah dibiasakan dengan sesuatu yang tidak berfaedah. Bercampur aduk sehingga sukar untuk diketahui yang mana satu yang benar-benar berguna. Begitu juga halnya dengan membaca. Sambil membaca, sesuaikan diri dengan muzik sekiranya perlu. Muzik yang sesuai dengan jiwa, tidak terlalu keras atau terlalu lembut yang boleh mengganggu pembacaan atau yang akan membolehkan kita tidur daripada membaca. 

               Selain itu, membaca itu perlu dilakukan dalam suasana persekitaran yang selesa. Persekitaran yang bersesuaian dengan diri sendiri. Berhenti apabila mata berasa lelah atau penat. Jangan sesekali memaksa diri untuk meneruskan pembacaan apabila badan merasa letih. Hal ini akan menyebabkan keinginan untuk membaca kurang dan makin kurang motivasi untuk pembacaan seterusnya. 

Biasakan diri dengan membawa sebuah buku atau bacaan ringan apabila hendak ke mana-mana destinasi. Dan apabila ada kelapangan atau masa, mulakan pembacaan dari sudut yang sesuai dan dengan perasaan yang selesa. Untuk membiasakan diri pada peringkat awal adalah suatu yang agak kekok. Tetapi lama-kelamaan perasaan kekok atau malu akan hilang dengan sendirinya. Tambahan amalan membaca lebih baik daripada berbual-bual kosong atau lepak saja-saja tanpa berbuat apa. 

Membaca bukanlah suatu trend, tetapi boleh dijadikan sebagai suatu yang perlu dalam diri. Dengan membaca, banyak perkara dapat dikongsi. Dengan membaca semakin kita sedari bahawa kita tidak memiliki ilmu yang cukup. Semakin banyak buku yang kita baca, makin sedar akan diri kita bahawa kita ini banyak kekurangan. 

               Selain itu, apabila hari ulangtahun hadiahkanlah orang yang tersayang atau kanak-kanak sebuah buku yang sangat diingininya. Tentu bertambah minat mereka untuk membaca. Sudah menjadi kebiasaan, kita akan menghargai pemberian orang yang tahu kegemaran kita. Oleh itu, kita perlu memahami dan mengetahui minat mereka juga. Bukan mengikut kemahuan kita semata-mata. 

Jangan lupa bahawa kita bukan membaca untuk menunjuk-nunjuk. Buatlah sesuatu dengan perasaan ikhlas. Mudah-mudahan kita akan dapat keberkatan dengan pembacaan tersebut.

Akhir kata, selamat membaca. Dan bergembiralah dengan membaca.